Sokongan dan rintangan adalah aras-aras harga pada mana harga sering melantun dalam suatu tempoh masa yang panjang.
Aras sokongan terbentuk apabila harga tidak lagi turun setelah satu tempoh penurunan yang lama dan mula bergerak naik semula. Ini kerana harga yang lebih rendah menarik pembeli untuk kembali aktif dalam pasaran dan memacu harga untuk naik semula.
Sebaliknya, aras rintangan terbentuk apabila harga mula menurun selepas suatu tempoh kenaikan, yang menunjukkan mereka yang telah membeli aset pada awalnya tadi sudah mula menjual dengan harapan untuk mendapatkan keuntungan. Ini menyebabkan terjadinya rintangan yang menyekat harga daripada naik ke aras lebih tinggi.
Sila maklum bahawa untuk suatu harga dikatakan sebagai sokongan dan rintangan, ia harus diuji oleh pedagang beberapa kali dalam suatu tempoh masa.
Apabila harga bergerak naik, aras sokongan dan rintangan mungkin kekal pada tempat yang sama atau mungkin juga berubah. Justeru, terdapat tiga jenis aras sokongan dan rintangan yang utama.
Sesetengah zon sokongan dan rintangan adalah tetap. Ini bermakna, tidak kira berapa lama harga tersebut bergerak, ia akan melantun pada aras (tetapi ia boleh menembusinya). Sokongan dan rintangan tetap secara umumnya wujud kesan daripada psikologi pedagang.
Pedagang sering bergantung pada data sejarah yang menunjukkan tingkah laku pasaran pada masa lalu, itulah sebabnya ramai pedagang menjangkakan aras sokongan dan rintangan masa lalu masih terpakai dalam situasi pasaran semasa. Sama ada aras ini mampu bertahan selama beberapa dekad atau tidak, pedagang masih menggunakannya, yang menyebabkan sokongan dan rintangan menjadi tetap/malar.
Aras sokongan dan rintangan tetap lain yang lazim terdapat pada nombor-nombor bulat seperti 10.30 atau 4.00 kerana secara psikologinya adalah lebih munasabah untuk pedagang meletakkan pesanan urusniaga mereka pada nombor bulat.
Aras sokongan dan rintangan dinamik berubah mengikut masa dan sering menyesuaikan diri dengan perubahan harga terkini. Aras-aras ini terbentuk apabila pedagang membuat pertimbangan mereka berpandukan pada pergerakan semasa pasaran semata-mata. Mereka menganalisis carta harga untuk melihat perkembangan baharu dalam penawaran dan permintaan. Jika mereka menganggap pergerakan harga semasa ini berimpak besar, mereka akan mengubah rancangan mereka dan memutuskan lokasi aras sokongan dan rintangan baharu.
Aras sokongan dan rintangan separa dinamik adalah sesuatu di antara aras dinamik dan tetap. Seperti aras dinamik, sokongan dan rintangan separa dinamik juga turut berubah dengan harga. Walau bagaimanapun, ia berubah pada kadar yang tetap dan tidak beranjak untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan baharu di pasaran. Ini bermakna garisan yang dilukis merentasi aras sokongan atau rintangan adalah lurus namun arahnya mungkin ke atas atau ke bawah.
Indikator sokongan dan rintangan boleh membantu pedagang mengenal pasti aras-aras yang mungkin aras sokongan dan rintangan. Ini sangat penting untuk diketahui bagi merancang perdagangan seterusnya dengan berjaya. Berikut beberapa indikator sokongan dan rintangan yang terbaik.
Indikator Fibonacci digunakan untuk mengenal pasti aras sokongan dan rintangan separa dinamik. Alat ini adalah berdasarkan nisbah Fibonacci dalam bentuk peratusan bagi suatu julat harga tertentu, yang boleh membantu pedagang mengenal pasti aras sokongan dan rintangan yang berpotensi. Nisbah ini diperolehi daripada nombor-nombor Fibonacci yang terkenal, suatu jujukan angka yang mana setiap nombor adalah hasil tambah dua nombor sebelumnya. Membahagikan nombor-nombor tersebut antara satu sama lain akan memberi anda angka-angka peratusan yang menjadi lokasi aras-aras sokongan dan rintangan: 61.8%, 38.2%, 23.6% dan 50%.
Biasanya, indikator ini mencari kemungkinan terjadinya pembetulan melawan arah trend utama. Menggunakan nisbah Fibonacci pada suatu julat harga boleh menunjukkan aras-aras yang berpotensi berperanan sebagai aras sokongan dan rintangan pada mana harga berkecenderungan tinggi untuk mengundur kembali. Ini boleh membantu pedagang mengesan aras yang berpotensi dijadikan titik masuk dan keluar dan bersedia untuk bertindak jika perlu.
Walaupun ia bukanlah indikator tradisional, gelombang Wolfe boleh memberikan pedagang gambaran tentang aras sokongan dan rintangan.
Gelombang Wolfe ialah pola yang terbentuk apabila harga didagangkan dalam suatu julat harga. Paras tertinggi yang lebih tinggi dan paras terendah yang lebih rendah dalam julat yang bergerak ke atas atau ke bawah sejajar dengan harga, mewujudkan garis selari yang lurus. Garisan-garisan inilah yang bertindak sebagai aras sokongan dan rintangan.
Oleh kerana gelombang Wolfe, secara asasnya, adalah suatu pola, ia biasanya berlaku sebelum penyongsangan arah trend. Sebagai satu pedoman, pada ayunan kelima pola ini, harga menembusi aras sokongan atau rintangan dan kemudian menyongsang dan terus bergerak dalam arah ini. Keupayaan mengenal pasti pola ini boleh membantu pedagang mencari aras yang berpotensi dijadikan titik masuk atau keluar.
Indikator titik pivot membantu pedagang mengenal pasti titik masuk dan keluar yang berpotensi dengan memplot garisan melalui titik pivot di mana pasaran berkemungkinan besar mengubah arah pergerakannya. Untuk mengira titik pivot, indikator ini menggunakan purata tinggi dan rendah serta harga penutupan hari sebelumnya.
Garisan yang diplot pada carta menunjukkan aras-aras yang mungkin aras sokongan dan rintangan. Ini membolehkan pedagang mempersiapkan diri lebih awal untuk menutup atau membuka urusniaga. Walau bagaimanapun, jika harga tidak melantun dari salah satu aras ini, ini bermakna trend itu kukuh pada masa ini, jadi pedagang juga dapat mengetahui arah trend.
Indikator titik pivot Camarilla berkisar seputar teori bahawa harga cenderung untuk kembali kepada harga puratanya untuk suatu masa yang terhad. Indikator titik pivot Camarilla boleh mengenal pasti aras yang mungkin adalah aras sokongan dan rintangan intrahari dengan menggunakan purata harga tinggi, rendah dan penutupan pada hari perdagangan sebelumnya dan juga nombor Fibonacci. Hasilnya, indikator menandakan lapan aras yang boleh bertindak sebagai aras sokongan dan rintangan bagi trend semasa.
Pedagang boleh merancang perdagangan mereka di sekitar lapan aras ini. Bull mungkin meletakkan pesanan beli mereka di sekitar aras sokongan, manakala bear fokus untuk berdagang di sekitar aras rintangan.
Indikator Garis Matematik Murrey (MML) terdiri daripada sembilan garisan (termasuk aras sifar) yang diplot pada carta yang bertindak sebagai aras sokongan dan rintangan. Garisan ini dikira menggunakan formula yang diperkenalkan oleh T. Henning Murrey, yang berdasarkan teori W. D. Gann yang menyatakan bahawa harga mempunyai kecenderungan untuk mundur pada selang 1/8. Itulah sebabnya mengapa indikator MML mempunyai lapan aras harga.
Walaupun MML boleh memberitahu kita aras-aras yang berpotensi sebagai aras sokongan dan aras penyongsangan, ia juga boleh memberitahu pedagang lebih banyak tentang kekuatan pergerakan harga. MML sokongan dan rintangan yang paling kuat ialah garisan bawah, tengah dan atas (masing-masing 0/8, 4/8 dan 8/8), di mana harga berkemungkinan besar akan melantun dan mengundur semula (retrace). Julat antara garisan 3/8 dan 5/8 dianggap sebagai julat perdagangan standard, manakala 2/8 dan 6/8 bertindak sebagai titik pivot yang kukuh dan secara amnya menunjukkan bahawa aset telah terlebih jual atau terlebih beli.
Harga tidak pernah bergerak dalam satu garisan lurus. Ia meningkat apabila ia menemui sokongan daripada pembeli dan jatuh apabila ia menghadapi rintangan daripada penjual. Seperti yang anda boleh lihat pada carta, sorong tarik ini boleh berlanjutan sehingga kedua-dua pihak ingin memanfaatkan perkembangan baharu pada pasaran.
Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, salah satu pihak akan kehilangan minat dalam “pertempuran” ini dan membolehkan pihak yang lagi satu untuk menang. Apabila keadaan ini berlaku, harga akan menembusi aras sokongan atau rintangan dan terus bergerak melepasi julat yang sebelum ini begitu kukuh, yang boleh anda saksikan dalam carta di atas.
Sila maklum bahawa apabila aras rintangan ditembusi, ia tidak lagi bertindak sebagai aras rintangan lagi kerana harga sudah berada di atasnya. Sebaliknya, ia berubah menjadi aras sokongan baharu, aras dari mana harga melantun apabila arah trend bergerak ke hadapan.