
Apakah itu saham?
Saham mewakili pemilikan dalam sesebuah syarikat. Apabila anda membeli saham, anda secara dasarnya membeli sebahagian kecil daripada syarikat itu, yang boleh melayakkan anda mendapat sebahagian daripada keuntungan dan asetnya. Syarikat menerbitkan saham untuk meningkatkan modal bagi pelbagai tujuan, seperti mengembangkan operasi atau melancarkan produk baharu.
Saham secara amnya terbahagi kepada dua kategori: biasa dan keutamaan. Pemegang saham biasa (common shareholders) biasanya mempunyai hak mengundi dan berkongsi keuntungan syarikat melalui dividen, iaitu agihan keuntungan syarikat yang dibayar kepada pemegang saham. Pemegang saham keutamaan (preferred shareholders) biasanya tidak mempunyai hak mengundi tetapi menerima dividen sebelum pemegang saham biasa dan mereka lebih diutamakan dalam penuntutan aset syarikat sekiranya berlaku pembubaran.
Nilai saham turun dan naik berdasarkan prestasi syarikat, keadaan pasaran, dan sentimen pelabur.
Pelaburan saham berisiko tetapi ia juga menawarkan potensi pulangan kewangan yang signifikan dari masa ke masa, menjadikannya pilihan yang popular dalam komposisi kebanyakan portfolio pelaburan.
Apakah jenis-jenis saham yang ada?
Stok boleh dikategorikan kepada beberapa jenis berdasarkan pelbagai kriteria. Memahami kategori ini membantu pelabur membina portfolio yang rencam (diversified) sejajar dengan matlamat kewangan dan toleransi risiko mereka. Berikut beberapa jenis saham yang utama:
Saham biasa
Ini adalah jenis saham yang paling lazim. Pemegang saham biasa mempunyai hak mengundi dalam mesyuarat pemegang saham dan boleh menerima dividen, tetapi mereka adalah yang terakhir untuk menuntut aset sekiranya berlaku pembubaran.
Saham keutamaan
Saham keutamaan lazimnya tidak menawarkan hak mengundi tetapi memberikan dividen tetap dan mempunyai hak tuntutan aset yang lebih tinggi berbanding saham biasa semasa pembubaran. Ia boleh dilihat sebagai hibrid antara bon dan saham.
Saham pertumbuhan
Saham jenis ini adalah saham syarikat-syarikat yang dijangka berkembang dengan kadar melebihi purata berbanding dengan saham syarikat-syarikat lain di pasaran. Syarikat-syarikat ini biasanya memilih untuk melaburkan semula keuntungan ke dalam perniagaan berbanding membayar dividen, dengan tujuan untuk meningkatkan modal.
Saham nilai
Nilai saham (value stocks) adalah saham daripada syarikat-syarikat yang kelihatan "undervalued" padahal nilai intrinsik mereka lebih tinggi. Pelabur membeli saham-saham ini dengan jangkaan bahawa harga mereka akan meningkat apabila pasaran mengiktiraf nilai sebenar mereka.
Saham dividen
Ini adalah saham daripada syarikat-syarikat yang kerap membayar dividen kepada pemegang saham. Ia menarik minat para pelabur yang mengutamakan pendapatan dan mahukan aliran tunai yang stabil.
Saham cip biru
Saham cip biru adalah saham daripada syarikat-syarikat besar dan mantap dengan sejarah prestasi dan kestabilan kewangan yang andal (reliable). Ia sering dilihat sebagai pelaburan yang selamat.
Saham murah
Saham murah (penny stocks) adalah saham-saham berharga rendah, biasanya didagangkan pada harga kurang daripada $5 sesaham. Walaupun saham jenis ini menawarkan potensi pulangan yang tinggi, ia juga datang bersama risiko yang ketara disebabkan oleh turun naik dan kecairan yang lebih rendah.
Saham sektor
Saham juga boleh dikategorikan berdasarkan industri atau sektor yang diceburi syarikat berkenaan, seperti teknologi, penjagaan kesihatan, kewangan, atau barangan pengguna.
Pasaran saham
Pasaran saham adalah sistem yang kompleks di mana saham syarikat-syarikat yang didagangkan secara awam dibeli dan dijual. Ia berfungsi sebagai platform bagi syarikat-syarikat untuk mendapatkan modal dengan menerbitkan saham dan bagi membolehkan pelabur membeli pemilikan dalam syarikat-syarikat ini dengan jangkaan pulangan kewangan. Pasaran saham terbahagi kepada dua segmen utama: pasaran primer dan sekunder.
Di pasaran primer, syarikat menerbitkan saham-saham baharu melalui tawaran awam permulaan (IPO) untuk mendapatkan modal yang diperlukan untuk pertumbuhan atau pengembangan aktiviti syarikat. Di pasaran sekunder, saham-saham yang sedia ada didagangkan antara sesama pelabur. Di sinilah majoriti aktiviti perdagangan berlaku, biasanya di bursa saham seperti Bursa Saham New York (NYSE) atau NASDAQ.
Harga saham di pasaran turun naik berdasarkan dinamik penawaran dan permintaan, dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk prestasi syarikat, indikator ekonomi, kadar faedah, dan sentimen pasaran. Pelabur menganalisis faktor-faktor ini menggunakan beberapa kaedah yang berbeza, seperti analisis fundamental (melihat kemantapan kewangan syarikat) dan analisis teknikal (mengkaji pergerakan harga dan volum urusniaga perdagangan).
Pasaran saham juga memainkan peranan penting dalam ekonomi dengan menyediakan syarikat akses kepada dana dan membolehkan pelabur mengambil bahagian dalam pertumbuhan organisasi ini. Indeks seperti S&P 500 atau Dow Jones Industrial Average, menjejaki prestasi kumpulan saham tertentu, memberikan gambaran yang menyeluruh tentang trend pasaran.
Walaupun pelaburan di pasaran saham boleh menghasilkan pulangan yang tinggi, ia juga hadir dengan risiko, kerana harga saham mampu meruap tidak menentu dan terjejas akibat daripada peristiwa yang tidak dijangka, seperti kemerosotan ekonomi atau ketegangan geopolitik. Oleh itu, ramai pelabur mengamalkan pelbagai strategi untuk mengurus risiko, seperti mempelbagaikan portfolio mereka atau melabur untuk jangka panjang. Akhir sekali, pasaran saham berfungsi sebagai komponen penting ekonomi global, memudahkan aliran modal dan menyediakan peluang untuk menjana kekayaan.
Bilakah syarikat menerbitkan saham?
Menerbitkan saham adalah satu keputusan strategik yang membantu syarikat menyokong inisiatif pertumbuhan mereka, mengurus struktur kewangan, dan memberi ganjaran kepada para pemilik syarikat.
Syarikat menerbitkan saham untuk mengumpul modal bagi pelbagai tujuan penting untuk pertumbuhan dan operasi mereka. Berikut adalah beberapa sebab utama saham diterbitkan:
Pengembangan pembiayaan | Syarikat sering memerlukan dana yang besar untuk mengembangkan operasi mereka, menceburi pasaran baharu, atau membangunkan produk baharu. Menerbitkan saham membolehkan mereka mengakses modal yang diperlukan tanpa berhutang. |
Meningkatkan aliran tunai | Dengan menjual saham, syarikat boleh meningkatkan aliran tunai mereka, yang boleh digunakan untuk operasi harian, membayar liabiliti sedia ada, atau melabur dalam penyelidikan dan pembangunan. |
Menarik pelabur | Menerbitkan saham boleh menarik pelbagai pelabur, yang bukan sahaja menyediakan modal tetapi juga kepakaran dan jaringan bisnes yang berharga. |
Memberi insentif kepada pekerja | Kebanyakan syarikat menawarkan saham atau opsyen saham sebagai sebahagian daripada pakej ganjaran pekerja. Ini membantu menarik dan mengekalkan bakat sambil menyelaraskan kepentingan pekerja dengan kepentingan pemegang saham. |
Mengurangkan hutang | Syarikat boleh menyusun semula struktur modal mereka dengan menggunakan ekuiti yang diperoleh untuk membayar pinjaman atau kewajipan lain, dengan itu mengurangkan leveraj kewangan. |
Menyediakan kecairan | Penerbitan saham memberikan bagi pelabur dan pengasas syarikat cara untuk mengewangkan (monetize) sebahagian daripada pelaburan sambil terus mengekalkan kepemilikan mereka. |
Apakah manfaat dan risiko saham?
Pelaburan saham menawarkan beberapa manfaat dan membawa risiko tertentu.
Pelabur perlu mempertimbangkan toleransi risiko, matlamat pelaburan, dan jangka masa pelaburan mereka dengan teliti apabila membuat keputusan untuk melabur dalam saham, selalunya menggunakan pendekatan yang pelbagai untuk menguruskan risiko.
Ini gambarannya secara ringkas:
Manfaat saham
Potensi pulangan yang tinggi
Secara historikalnya, saham memberikan pulangan jangka panjang yang lebih tinggi berbanding pelaburan lain, seperti bon atau hartanah.
Pemilikan
Membeli saham bermaksud membeli sebahagian pemilikan dalam syarikat, memberikan pelabur hak kepentingan ke atas keuntungan dan pertumbuhan syarikat.
Pendapatan dividen
Sebahagian besar syarikat membayar dividen kepada pemegang saham, menyediakan sumber pendapatan tetap sebagai tambahan kepada keuntungan modal daripada kenaikan harga saham.
Kecairan
Saham biasanya didagangkan di bursa, menjadikannya agak mudah untuk dibeli dan dijual berbanding dengan hartanah atau pelaburan lain.
Lindung nilai inflasi
Saham boleh bertindak sebagai lindung nilai (hedging) melawan inflasi, kerana syarikat boleh memindahkan kenaikan kos kepada pengguna dengan menaikkan harga, yang berpotensi meningkatkan keuntungan.
Kepelbagaian
Melabur dalam pelbagai saham boleh membantu mempelbagaikan portfolio, mengurangkan risiko keseluruhan pelaburan.
Risiko-risiko saham
Kemeruapan pasaran
Harga saham boleh turun naik dengan ketara dalam jangka pendek disebabkan oleh situasi pasaran, indikator ekonomi, dan sentimen pelabur, yang boleh membawa kepada kerugian.
Risiko berkaitan dengan syarikat
Prestasi yang lemah, keputusan pengurusan, atau perubahan dalam industri boleh memberi kesan negatif kepada harga saham syarikat.
Tiada jaminan pulangan
Tidak seperti bon, saham tidak menjamin pulangan atau pembayaran dividen. Pelabur boleh kehilangan keseluruhan pelaburan mereka jika syarikat muflis atau berprestasi buruk.
Membuat keputusan secara emosi
Pelabur mungkin dipengaruhi oleh emosi, yang membawa kepada keputusan impulsif semasa pasaran turun naik, berpotensi menyebabkan kerugian.
Sensitiviti ekonomi
Saham sensitif terhadap kemerosotan ekonomi, mengurangkan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan, yang boleh memberi kesan negatif kepada keuntungan syarikat dan harga saham.
Kurang kawalan
Pelabur tidak mempunyai kawalan ke atas operasi atau keputusan syarikat, yang boleh membawa kepada natijah yang memberi kesan negatif kepada prestasi saham.
Cara untuk mula berjinak-jinak dengan saham

Pada peringkat awal, saham mungkin tampak menakutkan, tetapi dengan pendekatan yang berstruktur, anda boleh menempuh fasa ini dengan efektif. Berikut beberapa langkah yang boleh membantu anda memulakan penerokaan anda dalam pelaburan:
1. Belajar
Ketahui asas-asas pelaburan dan saham
Memahami konsep asas seperti saham, bon, dividen, pesanan pasaran (market orders) dan peruntukan aset. Sumber seperti buku, kursus dalam talian, dan laman web berita kewangan adalah sumber yang sangat berharga.
Sentiasa ikuti perkembangan terkini
Ikuti berita kewangan dan trend pasaran untuk membiasakan diri dengan cara pasaran saham beroperasi.
2. Tentukan objektif kewangan anda
Tentukan objektif pelaburan anda, toleransi risiko, dan jangka masa pelaburan. Adakah anda melabur untuk persaraan, pembelian utama, atau mengembangkan kekayaan anda? Mengetahui matlamat anda akan membantu anda membentuk strategi pelaburan anda.
3. Pilih akaun perbrokeran
Pilih broker
Teliti dan pilih firma perbrokeran yang selaras dengan keperluan anda, dengan mempertimbangkan caj fi, perkhidmatan, dan kemudahgunaan. Broker dalam talian cenderung menawarkan caj fi yang lebih rendah dan fleksibiliti yang lebih baik.
Buka akaun
Lengkapkan proses permohonan pembukaan akaun, berikan maklumat peribadi dan kewangan yang diperlukan.
4. Danakan akaun anda
Pautkan akaun bank anda untuk mendepositkan dana ke dalam akaun perbrokeran anda. Kebanyakan broker membenarkan pemindahan dana secara elektronik untuk pendanaan yang cepat.
5. Bina strategi pelaburan
Putuskan sama ada anda mahu melabur dalam saham individu, dana Exchange-Traded Funds (ETF), atau dana amanah (mutual funds). Mempelbagaikan pelaburan anda boleh membantu memastikan risiko anda terurus.
Pertimbangkan strategi seperti pelaburan nilai (value investing), pelaburan pertumbuhan (growth investing), atau purata kos-dolar (dollar-cost averaging).
6. Bermula secara kecil-kecilan
Pada peringkat awal, pertimbangkan untuk melaburkan sebahagian kecil daripada modal yang anda ada. Ini membolehkan anda menimba pengalaman tanpa mengambil risiko secara berlebihan.
7. Kaji dan selidik saham
Gunakan alat penyelidikan platform pembrokeran untuk menganalisis saham. Lihat penyata kewangan, metrik prestasi, dan trend pasaran.
8. Buat pesanan pertama anda
Apabila anda sudah bersedia, laksanakan pesanan beli untuk saham yang anda minati. Mulakan dengan pesanan pasaran (market order) untuk pelaksanaan yang segera atau gunakan pesanan limit (limit order) untuk menetapkan harga pembelian anda.
9. Pantau pelaburan anda
Pantau prestasi portfolio anda dan buat pelarasan sesuai dengan keperluan berdasarkan objektif anda dan keadaan pasaran.
10. Sentiasa ambil maklum dan buat pelarasan
Teruskan belajar dan ikuti perkembangan terkini mengenai pasaran. Ambil pendekatan yang fleksibel dan bersedialah untuk sesuaikan strategi anda berdasarkan prestasi dan perubahan situasi kewangan anda.
Lagi tip-tip lain
Rundingi penasihat kewangan
Jika anda tidak pasti tentang cara-cara menguruskan pelaburan anda, penasihat kewangan boleh memberikan panduan yang diperibadikan (personalized).
Bersabarlah
Pelaburan saham adalah usaha jangka panjang. Tahan keinginan untuk bertindak balas secara impulsif terhadap turun naik pasaran jangka pendek.
Fi
Mungkin terdapat beberapa jenis fi/yuran yang boleh dicaj untuk transaksi-transaksi anda sebagai trader saham. Berikut adalah yang paling lazim:
Komisen | Ini adalah fi yang dicaj oleh broker untuk pelaksanaan pesanan beli atau jual bagi pihak anda. Kebanyakan broker telah beralih kepada model sifar komisen untuk perdagangan saham, terutamanya untuk platform perdagangan dalam talian, tetapi adalah penting untuk anda pastikan jika ia sebahagian daripada struktur fi broker pilihan anda. |
Spread | Spread adalah perbezaan antara harga beli (ask) dan jual (bid) bagi suatu saham. Walaupun ia bukan fi, ia antara kos yang ditanggung oleh pelabur kerana anda mungkin perlu membayar lebih apabila anda membeli berbanding apa yang anda terima apabila anda menjual. |
Yuran penyelenggaraan akaun | Sesetengah broker mengenakan yuran bulanan atau tahunan untuk mengekalkan akaun anda, walaupun kebanyakan broker telah menghapuskan yuran ini atau menawarkannya untuk akaun yang bakinya kurang atau lebih daripada suatu nilai ambang tertentu. |
Yuran tidak aktif | Jika anda tidak berdagang untuk suatu tempoh tertentu, sesetengah broker mungkin mengenakan yuran tidak aktif. Yuran ini menggalakkan trader berdagang dengan lebih kerap. |
Fi pemindahan dana | Jika anda memutuskan untuk memindahkan aset anda ke broker lain, sesetengah syarikat mengenakan fi untuk memindahkan akaun atau sekuriti. |
Faedah margin | Jika anda trade menggunakan margin (meminjam dana broker untuk trade), broker mengenakan faedah ke atas jumlah yang dipinjam. Ini boleh meningkatkan kos perdagangan anda dengan ketara. |
Fi bursa | Sesetengah saham mungkin tertakluk pada fi yang dicaj oleh bursa saham di mana ia didagangkan. Walaupun fi ini biasanya dikira sekali dalam kos transaksi, ia boleh memberi kesan kepada kos keseluruhan. |
Cukai | Bergantung pada lokasi anda, keuntungan yang diraih dengan menjual saham boleh dikenakan cukai laba modal (capital gain tax). Penting untuk mempertimbangkan implikasi cukai daripada keputusan trading anda. |
Pertimbangan akhir
Sentiasa semak senarai fi broker anda sebelum anda trade untuk memahami semua kos yang boleh dikenakan berkaitan dengan pembelian dan penjualan saham.
Cari broker yang menawarkan fi dan servis yang kompetitif sejajar dengan strategi trading anda.
Menyedari kewujudan fi-fi ini boleh membantu anda mengira impak yang boleh mempengaruhi pulangan pelaburan anda secara keseluruhannya.
Hindari penipuan
Apabila berdagang saham, adalah penting untuk mengelakkan penipuan untuk melindungi pelaburan anda. Berikut beberapa strategi yang boleh membantu anda melindungi diri anda:
Siasat dan selidiki broker
Sebelum membuka akaun, teliti firma perbrokeran berkenaan terlebih dahulu. Pastikan ia berdaftar dengan badan kawal selia seperti Securities and Exchange Commission (SEC) di A.S. atau badan yang sepertinya di negara anda. Cari ulasan pengguna terdahulu dan sebarang "red flag" yang mungkin ada.
Awas dan curiga dengan janji
Jika peluang pelaburan kelihatan terlalu bagus untuk diterima akal munasabah, firasat anda mungkin benar. Curigailah jaminan pulangan yang tinggi dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko dan elakkan nasihat pelaburan yang tidak diminta.
Pastikan produk pelaburan sahih
Sentiasa pastikan kesahihan saham atau produk pelaburan yang anda pertimbangkan. Semak pendaftaran dan pendedahan (disclosure) jika ia ditawarkan oleh syarikat.
Fahami risiko
Biasakan diri anda dengan pelaburan yang anda sedang pertimbangkan. Mengetahui asas-asas saham atau strategi pelaburan boleh membantu anda mengenal pasti skim penipuan.
Pantau akaun anda
Semak akaun perbrokeran dan pelaburan anda dengan kerap untuk transaksi tidak sah atau keanehan. Laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan segera.
Gunakan sambungan internet yang selamat
Sentiasa akses akaun pelaburan anda menggunakan sambungan internet peribadi yang selamat. Elakkan Wi-Fi awam semasa menguruskan pelaburan anda.
Didik diri anda
Sentiasa ambil maklum tentang jenis-jenis penipuan pelaburan yang lazim terjadi, seperti skim Ponzi, skim "pump and dump", atau pencurian identiti. Kesedaran dan pengetahuan adalah kunci untuk mengenali penipuan.
Rujuk penasihat kewangan
Jika anda tidak pasti tentang pelaburan, pertimbangkan untuk mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah. Pastikan mereka mempunyai reputasi yang baik dan berdaftar dengan badan kawal selia yang diiktiraf.
Baca prospektus
Apabila melabur dalam dana atau tawaran baharu, baca prospektus dengan teliti. Ia mengandungi maklumat penting mengenai risiko, fi, dan objektif pelaburan.
Gunakan alat pelaburan
Gunakan alat dan sumber daripada laman web atau aplikasi kewangan yang bereputasi untuk menganalisis saham dan menjejaki prestasi portfolio. Ini boleh membantu anda membuat keputusan dengan bermaklumat dan mengesan ketidakkonsistenan.